@L@

Wednesday 20 November 2013

Penang The Island of Pearl


Mengikut rombongan membuat lawatan ke Pulau Pinang. Kali ini perjalanan membuat lawatan untuk melengkapkan isi mengenai Air Sisa. Bergerak pada pukul 11 malam dari Batu Pahat membawa kepada beberapa perhentian akhirnya tiba selepas 7 jam perjalanan. 




Setelah membuat lawatan beberapa jam. aku dan kawan-kawan yang lain singgah makan tengahari sebelum solat Jumaat di USM. Check in di Hydro Hotel ( Hotel Mr Arrogant katanya)  tepat pukul 3.00 petang, dan berehat sebelum berangkat ke destinasi seterusnya. Pada sebelah petang menghirup udara tepi pantai di Miami Beach, Batu feringghi 


Sebelah malamnya pula ke kawasan sekitar Pulau Pinang untuk membeli sedikit cerderahati. Makan malamnya pula adalah Laksa Penang sungguh sedap dengan kadar harga RM 2.50. Perjalanan terhenti dengan ditemani oleh hujan rintik dan pulang semula ke hotel. 

Laksa Penang

Night Market

keesokan harinya disediakan dengan berbagai hidangan yang memikat hati. Tanpa membuang masa aku mula mengorak langkah menuju ke medan. Setelah perut penuh terisi aku ke pantai untuk mandi laut pula. Air yang agak masin, bermain selama 1 jam  tidak terasa dan masa berlalu dengan pantas sekali. 

Mandi 

Bukit Bendera
Penang Bridge view

Perjalanan aktiviti untuk ke Taman Negara terbatal dan digantikan dengan ke Bukit Bendera. Bermulalah kenangan yang tak akan mungkin dapat dilupakan. Menggunakan Kad Pelajar tiket menaiki keretapi hanya RM4.00. Pemandangan yang sungguh cantik hanya mampu dinikmati beberapa minit sebelum berangkat pergi. Membeli sedikit Jeruk dari kedai Pak Ali dan Nasir Jeruk, melangkah pergi meninggalkan Pulau Pinang pada sebelah petang dan balik semula ke Batu Pahat tepat pukul 2.00 pagi.



Jeruk

Tuesday 12 November 2013

Utara Telah Ku Tawan

Penghibur Diri Dikala Cuti,
Negeri Utara Jelapang Padi,
Sungguh Indah Tidak Terperi,
Dilain Masa Bersua Kembali.


Memukau

Kaki kini melangkah ke destinasi minda, tepat pukul 9.30 malam mula berangkat dari Terminal Ayer Hitam dengan kadar tambang RM66, perjalanan yang mengambil masa 10 jam dengan beberapa kali perhentian memang sesuatu yang memenatkan. Tiba di Terminal Alor Setar pada pukul 7.30 pagi kemudianya bersarapan di kedai makan Ramli. Seperjalanan semasa menghampiri Terminal aku disajikan dengan pemandangan pagi yang sangat indah.
Breakfast

Setelah itu menginap di Hotel Sabena dengan harga RM75.00 semalam. Berehat sebentar sebelum ke Masjid Al Bukhary untuk mengambil beberapa keping gambar. Masjid Al Bukhary yang terletak di Jalan Langgar, Alor Setar mampu memuatkan 10,000 jemaah dalam satu-satu masa. bersama-sama masjid ini juga dibina dengan beberapa beberapa bangunan antaranya adalah pusat rawatan,  pusat membeli belah, rumah anak-anak yatim, rumah orang-orang tua dan Universiti Al Bukhary. Masjid ini dibina oleh seorang usahawan yang berjaya lagi dermawan iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Kemudianya bergerak ke Muzium Padi, terletak di Gunung Keriang 8km dari bandaraya Alor Setar. Muzium ini yang memaparkan cara dan alatan yang digunakan untuk menanam padi. Selain daripada itu produk dari beras juga dipamerkan antaranya adalah sagon, jepang dan peneram. Muzium padi ini mempunyai keluasan 12,000 meter persegi di tubuhkan bagi memperkenalkan penyelidikan dan sumber yang berasakan padi  dan dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 12 oktober 2004 . Kadar bayaran masuk adalah RM5.00 dan RM 2.00 untuk dewasa dan kanak-kanak. Sebelum berangkat perkena Laksa Kedah memang sedap.



Kali ini tidak berkesempatan untuk ke masuk ke Gua Keriang. "Gambaq kat luaq pun jadi lah noo.." under maintenance. Semasa perjalanan balik, terlihat keindahan sawah bendang yang sedang siap di bajak, turun sebentar untuk sesi bergambar. Ditemani dengan beberapa penduduk kampung yang sedang memancing ikan disertai dengan hujan rintik. Perjalanan diteruskan dengan ke lokasi yang seterusnya sekitar bandar Alor Setar iaitu Istana Anak Bukit. Istana Anak Bukit merupakan pekan yang terletak di berhampiran dengan Alor merah dan Kepala batas. Anak Bukit atau Changkat mendapat namanya daripada kawasan tersebut tinggi sedikit daripada kawasan sawah padi yang terdapat disekelilingnya, pada masa itu bukit kecil ini jelas kelihatan pada waktu pagi kerana ketinggianya berbanding dengan sawah padi yang dan rendah. Istana Anak bukit merupakan kediaman rasmi Sultan Kedah iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Sir Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah inbi Almarhum Sultan Badlishah. Pada tahun 2009 Istana Anak Bukit telah menjalani pengubahsuaian yang bernilai 70 juta. Ruang makan istana ini saja mampu untuk menampung 1400 orang dalam satu-satu masa.

Hari melangkah senja untuk hari yang pertama diteruskan dengan melawat Masjid Zahir. Masjid Zahir dikenali dengan Masjid Diraja kerana kedudukanya yang berada di perkarangan istana. Masjid zahir yang mempunyai 1 kubah berwarna hitam besar disertai 5 kubah kecil mula dibina pada tahun 1912 yang di ilhamkan oleh Tunku Mahmud. Tapak Masjid ini merupakan pusara wira-wira kedah yang gugur semasa mempertahankan kedah dari serangan siam. Mempunyai keluasan tapak 124412 kaki persegi dengan dikelilingi beranda serta 4 anjung yang setiap satunya mempunyai kubah.

Roti Canai dan Roti Jala...  nyaman bana!!

Hari kedua di Utara Malaysia, bersarapan dengan Roti Jala dan Roti canai. Kelainan sarapan kali ini adalah Roti Jala yang dibuat besar dengan harga RM1.80 sekeping dengan kuah kari kerutup, memang lazat. Setelah bersarapan mula bergerak ke Perlis Indera Kayangan pula iaitu Taman Ular dan Reptilia. Terdapat kira-kira 150 ekor ular dari 34 spesis ditaman ini. 25 spesis ular tempatan dan sembilan spesis dari luar negara. 10 jenis spesis ular di taman ini adalah jenis yang berbisa dan selebihnya tidak berbisa. diantara jenis ular yang terdapat di taman ini ialah ular sawa, ular tedung selar, ular tesung senduk, ulat ekor merah, ular kapak bakau, ulau rusuk kerbau dan ular katam termasuklah katam tebu dan katam payung serta punti.
Bayaran masuk ke Taman Ular ini adalah RM 5.00 untuk dewasa dan RM1.00 untuk kamera. Sesudah melawat haiwan reptilia tiba masa untuk ke gua pula.

Kawasan Taman

Puisi Gua kelam,
Gua kelam indah menawan,
Titian Gantung Mengusik jiwa,
Andai hidup tidak berkawan,
Ibarat Badan tidak bernyawa.

Gua bersungai titi direntnag,
Terowong bijih mengimbau nostalgia,
Maruah kita sama ditatang,
Supaya hidup aman Bahagia.

 Berkocak air dibawah titi,
Iakn melompat di malam gelita,
Dekat di mata sayang di hati,
itulah Perlis Negri tercinta.

Terbang unggas di taman rusa,
Singgah makan di pinggir laman,
Andainya hilang budaya bangsa,
Hidup gelisah tidak berpedoman.

Kolam bijih airnya tenang,
Tempat minum hidupan rimba,
Berbuat bakti kalau dicanang,
Ibarat air bocor ditimba
karya : Adnan Jahaya.

Gua kelam terletak di kaki bukit dan terletak lebih kurang 36 km dari bandar kangar. Gua Kelam dahulunya terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah yang bermutu tinggi. Gua ini juga menjadi jalan penghubung penduduk Wang Kelain ke kaki bukit. Pada waktu itu industri eropah yang berevolusi memerlukan bijih timah yang banyak membawa kepada kerja-kerja perlombongan dengan cara mendulang. Dulang yang diperbuat daripada kayu itu berbentuk leper seperti kuali, penduduk mendulang tanah lumpur yang dijangka terdapat bijih timah didalamnya. Harga bijih timah pada waktu itu adalah RM20 sepikul (60kg) dan mampu mencecah RM30 sepikul. Berjalan didalam gua yang telah lengkap dan selesa sejauh kurang daripada 500m memang menampakkan keunikan gua tersebut. Selain daripada gua, terdapat juga kawasan rekreasi mandi manda dikawasan sekitar. Bayaran masuk kedalam Gua adalah RM1.00.

Kompleks Padang Besar

Seterusnya bergerak ke Padang besar, "Padang besaq" yang popular sebagai syurga membeli belah mampu memberikan anda kepuasan dengan harga yang murah dan pelbagai. Padang besar terletak 56km dari selatan Hat Yai, thailand dan 35 Km dari Bandar Kangar. Kawasan yang bebas cukai ini menjadi tumpuan ribuan orang setiap minggu dari Malaysia dan Thailand sejak tahun 1960. Sebelum berganti hari singgah makan malam di Jeti, Kuala Perlis. Makan yang berkonsepkan pilih dan masak memang memukau dengan makanan laut yang segar dan rambang mata dibuatnya.

Nice view


Menara Alor Setar
Hari terakhir sebelum berangkat pulang pada pukul 8.30 malam nanti, melawat kawasan sekitar Alor Setar. Muzium Diraja  (Rumah Pelamin) asalnya ialah sebuah istana Sultan Kedah dikenali sebagai Istana Kota Setar. Bangunan ini dibina oleh Almarhum Sultan Muhammad Jiwa pada tahun 1736. Selepas berlangsungnya beberapa istiadat perkahwinan diraja, istana ini dikenali sebagai Istana Pelamin. Istana ini juga menjadi tempat kediaman keluarga diraja Kedah dan menjadi pusat untuk upacara-upacara beradat seperti perkahwinan dan juga istiadat berkhatan putera-putera dan kerabat diraja DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Kemudianya ke Muzium yang lainnya iaitu Galeri Sultan Abdul Halim, Balai Nobat, Menara Jam dan Balai Seni Negeri Kedah Darul Aman. Destinasi terakhir adalah  Menara Alor Setar, menara Alor Setar merupakan menara telekomunikasi yang ke 2 tertinggi di Malaysia dan yang ke 22 tertinggi di dunia. ketingginanya ialah 165.5 meter dari aras laut dan menelan kos sebanyak RM 40 juta. Selain menjadi menara telekomunikasi, ianya juga berperanan sebagai salah satu tarikan pelancong bagi menikmati panorama indah dan menarik disekeliling Bandaraya Alor Setar. Berangkat pulang dengan perjalanan pulang yang lebih selesa, dan tepat sampai pada pukul 8.00 pagi di Batu Pahat.




Aku pun nak lompat!!

Wednesday 6 November 2013

Tip Of Asia



Perancangan perjalanan yang tidak cukup sehari membawa aku ke Tanjung Piai.  Kali ini seramai 11 orang membuat pergerakan perjalanan yang tertunda hampir 2 jam diakibat masalah kereta sewa. Namun perjalanan yang dirancang 6.30 pagi bertukar 9.30 pagi. Tapi perjalanan tetap diteruskan. Mengambil masa 1.30 dari Batu Pahat ke tanjung dengan bayaran tol RM 5.70. 


Tanjung piai merupakan satu kawasan pelancongan yang popular sebagai penghujung tanah besar asia (Tip Of Mainland Asia).  Tanjung piai juga mempunyai perlbagai hidupan flora dan fauna termasuklah keadaan keunikan paya bakaunya antara penghuni paya bakau ialah Ketam, mudskippers dan macaques. Tanjung piai mempunyai keluasan 926ha-526ha termasuklah bakau persisir pantai. Terdapat dua kawasan masuk utama iaitu melalui Sungai Belukang atau Desa Sri Piai. Bayaran masuk ke Tanjung piai adalah RM 5.00 . Selama 2 jam berada di tanjung piai dengan bergambar untuk dijadikan ingatan.

Setelah ke Tanjung Piai destinasi seterusnya adalah Kawasan Air terjun Kota Tinggi. Mengambil masa selama 2 jam lebih dari Tanjung Piai.  Bayaran masuk ke kawasan Air Terjun ini adalah RM 7.00 seorang ( ini tak masuk nak sewa boat pelampung RM 25 sejam) dan RM 3.00 untuk kenderaan. Air Terjun Kota tinggi ini terletak 15 km dari Bandar Kota Tinggi dan terhasil daripada sungai kecil. Terdapat beberapa taman permainan air terjun.  Taman rekreasi ini tututp pukul 7 pm , memang tak sempat nak main puas-puas dekat sini .



Penat bermain air, seterusnya menikmati makan malam di Kluang . Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam sebelum sampai ke tempat yang dituju iaitu Restoran Facefood. Chiken shop menjadi pilihan dengan kadar harga RM7.50. kadar harga berbaloi dengan kuantiti dan quality yang dihidangkan. Siapa yang tak makan banyak rugi makan dekat sini… hehehe.. seterusnya perjalanan balik ke Batu pahat ditemani dengan hujan lebat, perjalanan yang sepatutnya 45 minit menjadi sejam diakibat oleh jarak pandangan yang terhalang. Tepat pukul 11.45 sampai di Batu Pahat.

Friday 4 October 2013

Sarawak Bumi Kenyalang

Fly With Hornbill
Seminggu di bumi kenyalang memang sesuatu yang tidak akan dilupakan, kali terakhir aku menjejakkan kaki masa mengikuti PLKN (Pusat Latihan Khidmat Negara) selama 3 bulan. Tapi kali ini aku  ke Sarawak untuk mengikuti "SEIC (Soft Soil Engineering International Conference)".Datang lebih awal selama 4 hari membawa aku untuk pergi merata tempat di kawasan Sarawak yang mempunyai keluasan 124,000 sq-km.



Menaiki pesawat Boeing 707 dari Senai ke Kuching yang mengambil masa penerbangan 1 jam 30 minit dengan keadaan cuaca yang agak berawan terus ke penginapan Backpakers. Perjalanan dari Lapangan terbang kuching ke Bandar kuching hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit dengan menaiki kenderaan dengan harga tambang RM 26 menaiki teksi. Pada malam harinya pergi ke waterfront untuk melihat night life berdekatan kawasan sekitar bersama teman-teman 13 orang semuanya.

Hari ke- 2, bermula pukul 8 pagi menuju ke Kampung budaya (culture village) sejauh 35km dari Bandar Kuching dengan tiket masuk RM60 ringgit manakala untuk pelawat yang menggunakan kad pelajar hanya perlu membayar RM15 sahaja. Terdapat bermacam-macam budaya Sarawak yang di pertontonkan dari segi pemakaian, tempat tinggal, adat dan budaya yang masih dikekalkan. Selama 2 jam berada dikampung budaya sebelum menamatkan perjalan untuk hari ini kami ke Pasar Satok dan Kubah Ria untuk membeli sedikit cenderahati. Pada sebelah malamnya pula menikmati makan malam di seberang sungai iaitu Nasi Tomato dengan harga RM 5.00. Untuk menyeberangi sungai perlu menggunakan perahu dengan kadar harga RM0.50  yang dikendalikan oleh Orang Ulu.

Pasar Satok


Hari  ke- 3, matlamat untuk hari ini adalah ke Serikin dengan jauh perjalanan 80 km dari Bandar Kuching. Kampong Jagoi Serikin yang popular dengan pasar hujung minggu yang menjual pelbagai jenis barangan termasuklah kraftangan, batik,  barangan elektrik, herba dan ubat-ubatan. Aku hanya berjalan-jalan untuk melihat keadaan disana yang penuh dengan barangan dan manusia.  Kemudianya sebelum bergerak ke Gua Poh Ling, Gua pari-pari (Fairy Cave) dan Gua angin (Wind Cave).

Gua Pari-pari mempunyai keunikan yang tersendiri dengan mempunyai gua batu kapur yang besar dengan ditumbuhi dengan tumbuhan hijau, mempunyai stalagmites dan stalactites yang berketinggian lebih daripada 15 kaki tinggi. Menurut daripada mitos penduduk kampong Krokong, Bau, gua ini terdapat penempatan manusia zaman dahulu, namun penduduk di kawasan ini amat kejam dan menyiksa kanak-kanak kecil terutamanya anak yatim piatu. Maka, kononya terdapat pari-pari yang menghuni gua tersebut tidak tidak tahan dengan kezaliman manusia dikawasan tersebut, lalu disumpahnya manusia yang mendiami gua tersebut menjadi batu. Oleh sebab itu banyak antara batu-batu yang terdapat dikawasan gua ini menyerupai manusia.

Gua Poh Ling
Manakala Gua Angin pula mendapat namanya daripada tiupan angin yang sejuk daripada bukaan gua ke bukaan yang lain, gua ini dipercayai telah wujud sejak 60 juta tahun dahulu dengan beberapa artifek seperti kulit kerang, tembikar dan arang. Gua ini yang telah dihuni oleh ribuan kelawar dan burung layang-layang menjadikanya lebih menampakkan keaslianya. Melihat keindahan alam membuat diri merasa bertapa kerdilnya diri ini. 




Hari ke- 4, penat semalam belum lagi hilang kini meneruskan lagi ke destinasi seterusnya iaitu ke Taman Rekreasi Ranchan untuk bermandi manda tapi sebelum ke destinasi yang dituju bersarapan di Bandar Serian Sri Jati Cafe, sarapan pagi di Sarawak adalah nasi putih dan lauk, sukar untuk mendapatkan kuih-muih diwaktu pagi. Menghabiskan masa di Taman Rekreasi Ranchan dengan bermandi air terjun. Taman Rekreasi Ranchan terletak 4 kilometer daripada Bandar Serian juga terdapat De' Chalet merupakan hak milik penuh Majlis Daerah Serian. Kawasan yang jauh dengan kesibukan dan kebisingan kota adalah sesuai bagi sesiapa yang mencintai kedamaian.
Taman Rekreasi

Blue Lake
Setelah segar bermain air, aku dan teman yang lain pergi ke Tasik Biru (Blue Lake) yang mempunyai kedalaman 300 kaki dengan air yang jernih sehingga boleh menampakkan dasar tasik, dahulunya merupakan lombong emas sehingga satu tahap kedalaman, air memasuki lombong dan menenggelamkan semua pelombong dan jentera didalamnya. Keadaan air biru ditasik ini disebabkan kandungan arsenic dan galian yang tinggi hingga segala hidupan sukar untuk hidup didalamnya. Berehat untuk menjamu selera tengahari, aku memilih Roti Canai untuk menu tenghari ini.


Pada sebelah petang pula aku dan teman ke Semenggoh Wildlife Centre (SWC) untuk melihat orang hutan. SWC yang telah ditubuhkan pada tahun 1975 adalah untuk memberi perlindungan kepada hidupan liar yang ditemui cedera dihutan dan rampasan hidupan yang diperdagangkan secara haram. Pusat hidupan liar ini telah berjaya menyelamatkan lebih kurang 1000 mamalia yang hampir pupus dan beberapa burung dan juga reptilia. Walaubagaimanapun Orang Hutan merupakan punca utama SWC ini menjadi popular. Disini kita dapat menyaksikan gelagat orang hutan semasa waktu makan mereka. Richie merupakan induk jantan yang menguasai di SWC. Pulang semula ke Bandar Kuching, namun sebelum bermulanya hari Conference sempat lagi untuk bergambar di mercu tanda Bandar Kuching. Pada sebelah malamnya pula sekali lagi menikmati makan malam diseberang sungai iaitu Nasi Goreng Madu 3, siapa yang meminati masakan pedas  bolehlah mencuba Nasi Goreng Engin, pedas dan terangkat.
Pandangan Seberang
Conference Dinner 
Hari ke- 5 , bermulanya hari persidangan di River majestic selama 3 hari. Pada hari terakhir persidangan adalah waktu untuk membeli cenderahati dan kek lapis Sarawak. Kek lapis yang popular di sini ada Mira cake house dan Dayang salhah cake house. Semasa membeli kek lapis memang rambang mata disebabkan pilihan yang bermacam-macam dan rasa yang sangat sedap. Antara kek lapis Mira dan Dayang Salhah aku lebih suka kek Lapis Mira disebabkan keknya yang lebih berasa dan bau mentega yang menyenangkan. Namun kek Lapis Dayang Salhah lebih banyak pilihan. Penerbangan pulang adalah pada pukul 7.15pm dengan keadaan cuaca yang agak tenang dan cerah untuk ke Johor. Selamat sampai ke rumah pada pukul 12 malam. 


Monday 6 May 2013

Hutan Lipur Soga Perdana


Minggu-minggu yang mencabar menjalankan aktiviti luar. Kali ini tanpa perancangan untuk mendaki bukit, aku dan teman seramai   5 orang bergerak ke Bukit Soga dari Pt Raja pada pukul 7.00 dan mengambil masa 45 minit untuk sampai ke Bukit Soga menggunakan motorsikal. Sesampai sahaja ke Bukit Soga ramai pengunjung menjalani aktiviti berjoging dan beriadah.

Gambar sakan

Bukit Soga atau dikenali Hutan Lipur Soga Pedana terletak di 3 km daripada Bandar Batu Pahat dan 130 km dari Bandar Johor merupakan salah satu hutan simpan di Malaysia berjenis  hutan dipterokarpa bukit.

Mempunyai ketinggian antara 600 kaki dan kemudahan seperti pejabat, pondok rehat, tandas, denai, trek joging, par course dan menara pandang. Menara pandang merupakan destinasi terakhir dengan  jarak sejauh 785 meter dari titik permulaan.

Baru melangkah beberapa anak tangga, terasa amat letih untuk meneruskannya. Berehat sebentar untuk membuat aktiviti pemanasan badan sebelum meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan terdapat flora dan fauna yang menarik.

Kawasan sepanjang trek perjalan kaki ditumbuhi pokok jenis pakis.  Terdapat juga beberapa jenis pohon-pohon buah hutan antaranya adalah kelat Jambu.

Minum pun boleh..

Menara pandang

Just acting
Sepanjang perjalanan hanya dipenuhi dengan aktiviti bergambar, berehat sebentar di beberapa perhentian bagi menghilangkan penat. Semasa menuruni kawasan tersebut terdapat  mini sungai dengan didiami beberapa ekor anak ikan dan ketam. Pendakian hanya mengambil masa 30 minit dengan beberapa kali perhentian.
Menghilangkan keringat 

Makan time

Setelah penat mendaki, singgah makan tengahari di Restoran BP Briani Power, aku memilih menu Briani ayam dan air kelapa muda dengan kadar harga RM 9.00 dan RM 2.70 setiap satu. 

Kembali semula ke Pt Raja ditemani dengan kesesakan lalu lintas disebabkan PilihanRayaUmum ke-13.