Dari Pulau Menuju Pulau
Hari pertama
Lawatan sambil belajar, kali ini
aku bergerak secara berkumpulan yang ramai bagi menjalankan aktiviti kerja.
Tujuan asal perjalanan ini adalah bagi memperolehi pengalaman dan belajar
perkara-perkara baru sambil membuat CSR “Corporate Social Responsibility”.
Bergerak seawal 5.00 pagi untuk
berkumpul di feri terminal yang dijangka bertolak pada pukul 6.30pagi. Feri
kenderaan yang mengambil masa 1 jam 30 minit perjalanan membawa aku
menyeberangi laut pemisah Labuan Menumbok. Tepat 8.30 am kami meneruskan
perjalanan menuju Tawau melalui jalan Menumbok - Keningau - Kalabakan
- Tawau. Perjalanan kami yang
dimulai dengan keadaan cerah mula dicurahi dengan kedinginan hujan sesampai
sahaja kami berhenti di Banjaran Crocker. Banjaran Crocker yang telah diilhamkan oleh
peneroka William Maunder Crocker yang mempunyai ketinggian 1800 meters (5,900
kaki) antara salah satu gunung tertinggi di Asia tenggara.
Setelah melalui banjaran yang
memisahkan timur dan barat sabah , kami kemudiaan telah berhenti rehat di
Keningau untuk makan tengahari pada pukul 12.30pm dan menunaikan solat di
Masjid Al Taqwa Keningau.
Meneruskan Perjalanan melalui
Kalabakan yang agak mencabar dan pemanduan yang maxima diperlukan kerana
terdapat banyak kesan-kesan tanah runtuh dan lori-lori balak yang tidak lekang
berlegar-legar dijalanan. Kalabakan atau “kalap angkan” yang membawa maksud “dapat
makan” diberikan oleh penduduk asal disana yang berbangsa Tidong. Perjalanan
yang lama mengambil masa 13 Jam sebelum aku tiba di Hotel Marco Polo pada pukul
9.30pm.
Tamat Hari pertama
Hari Kedua
Hari kedua diteruskan walaupun
penat semalam belum lagi reda. Bersarapan dan bergerak pada pukul 8.00 pagi
kemudiannya bergerak ke Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sri Stella Tawau
untuk bersama-sama melawat dan melakukan kerja-kerja amal disana. Kami telah
dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan perbersihan dan kumpulan Mural.
Taman didikan ini yang telah ditubuhkan pada tahun 1989 masih aktif walaupun
telah mencecah angka 28 tahun dalam memberi khidmat bakti dan telah dirasmikan
oleh Y.B Ahmad Bahrom bin Y.B Datuk Hj Abu Bakar Titingan (1990). Penghuni
Taman didikan ini adalah dari kanak-kanak kurang upaya dari segi fizikal dan mental
(Cerebral Palsy, CP). Kanak-kanak yang mengalami CP ini kebanyakannya mengalami
kerosakan pada saraf otak yang boleh disebabkan oleh kecederaan atau perkembangan
otak yang terencat sebelum, semasa dan selepas bayi dilahirkan.
Pada sebelah petang pula, kami
beramah mesra dengan penghuni rumah orang-orang tua Air Panas, Tawau. Kebanyakan
warga yang menetap disini adalah tidak mempunyai keluarga dan keluarga dalam
keadaan yang tidak berkemampuan. Bercerita dengan warga-warga tua disini dapat
menjadi pengajaran buat diri sendiri untuk berfikir sejenak. Beberapa warga
mengalirkan air mata dan menahan sebak bila berkongsi cerita kehidupan. Kami kemudiannya
dihiburkan dengan nyanyian lagu sebelum dihidangkan dengan minuman petang
bersama-sama warga sebelum bersurai.
Tamat hari kedua
Hari Ketiga
6.30 pagi telah bersiap sedia
untuk memulakan perjalanan yang seterusnya. Tujuan hari ini adalah untuk pergi
ke Bohey Dulang, Semporna Sabah. Perjalanan ke semporna mengambil masa 1 jam 30
minit dari bandar tawau tiba pada pukul 8.00 pagi. Sebelum itu, singgah untuk
membuat lawatan ke Pangkalan Polis Maritim daerah Semporna. Semporna mempunyai
49 buah pulau dan 21 buah pulau berpenduduk dan selebihnya tidak berpenduduk
serta terdapat 5 buah pulau yang menjadi tarikan pelancong. Setelah menghabiskan
masa melawat Pangkalan polis marin. Pukul 10.45 pagi bergerak ke Jeti Penumpang
untuk ke Pulau Bohey Dulang. Dengan bertujuan melihat keindahan pulau, kini aku
bergerak seramai 14 orang bagi setiap bot. Perjalanan mengambil masa 30 minit
dari Jeti penumpang ke Pulau Bohey Dulang.
Setiba di Bohey Dulang, pelawat
boleh mendaki bukit Bohey Dulang dengan ketinggian 600meter. Kasut hendaklah
digunakan semasa menaiki bukit ni. Kejernihan air di pulau ini memang
mempersonakan, dengan kehadiran ikan-ikan marin yang sungguh indah untuk
diamati. Pulau-pulau yang telah digazetkan ini merupakan Taman Marin Tun
Sakaran yang terdiri daripada 7 buah pulau iaitu Bohey Dulang, Bodgaya, Sebangkat,
Salakan, Maiga, Sibuan dan Mantabuan. Aku dan yang lainnya hanya sempat untuk
berada di Bohey Dulang, Sibuan dan Mantabuan yang mempunyai keluasan 350km
persegi dan dihuni lebih daripada 2000 orang penduduk secara keseluruhannya.
Aku kemudiaanya menikmati
keindahan kejernihan air laut dengan berenang ditepian dan snorkeling. Arus air
yang deras pada dasar laut adalah bahaya kepada kanak-kanak tanpa pemantaun
orang dewasa. Terdapat banyak ikan-ikan marin dan terumbu karang yang indah di
sepanjang pesisir pulau. Tepat 4.00 petang kini kami berangkat pulang ke jeti
penumpang. Singgah sebentar di Pasar semporna, banyak hasil laut yang dijual
murah disini berbanding di pasar tawau antaranya adalah Ikan Pari kering,
Sotong Kering, Kima (tiram kering), Ikan Kering (pelbagai Jenis). Harga yang
ditawarkan adalah separuh harga daripada Pasar Tawau. Aku sempat membeli sotong
kering dan kima untuk dijadikan cenderahati. Kebanyakan penjual adalah dari
penduduk asal dan penggunaan bahasa melayu agak sukar kerana kebanyakannya
hanya menggunakan bahasa bajau sebagai bahasa petuturan. Satu bonus sekiranya
pandai berbahasa bajau disini.
Pukul 6.00pm semuanya berkumpul
di Seaview restoran untuk menikmati makan malam. Dapat menikmati ikan putih 3
rasa dan Sotong goreng sudah mencukupi setelah penat bermain air. Kami berangkat
semula ke Tawau pada pukul 8.00 malam.
Tamat hari Ketiga
Hari Keempat
Masih bermimpi berenang di lautan
semporna, kini teruskan perjalanan pagi ini untuk melaksanakan perlawanan
persahabatan seawal 7.00 pagi. Antara acara
yang dipertandingkan adalah bola sepak, badminton dan juga carom. Perlawanan berlangsung
sehingga pukul 12.00 tengahari.
Aktiviti sebelah petang pula
adalah membuat rondaan di sekitar Tawau dan kawasan yang menjadi tumpuan adalah
ke pasar Tawau. Membeli barang-barang untuk dibawa pulang. Seperti biasa
makanan wajib bila tiba di Tawau adalah balinjo, Amplang, bilis dan udang
kering.
Setelah itu singgah sebentar di
taman tikus untuk membeli barang-barang “bundle” dan duduk sembang setelah
bertemankan mentari panas, ABC menjadi
pilihan. Pulang semula ke Hotel untuk
persiapan malam kemuncak lawatan sambil belajar di Tawau Sabah.
Majlis bermula tepat pukul 7.00
malam di Restoran Sri Titingan. Majlis makan malam ini dihidangkan dengan
makanan laut terdiri ketam, ikan dan udang dengan cara masakan yang tersendiri.
Acara mala mini juga diselingankan dengan cabutan bertuah. 40 cabutan bertuah
diberikan kepada para peserta. Namun sebelum dimulakan majlis sambutan harijadi
bagi peserta yang lahir pada bulan Ogos dilangsungkan.
Hari keempat tamat
Hari ke Lima
Hari perjalanan balik kini telah
tiba, berkumpul seawal pukul 5.00 pagi sambil bersarapan didalam bas. Kini perjalanan
balik melalui Kalabakan -> Keningau -> Tenom -> Spitang -> Menumbok
perjalanan pulang ditemani dengan hujan yang sedih untuk mengucapkan selamat
tinggal. Perjalanan pulang terasa lebih singkat apabila telah melalui kawasan
kalabakan. Walaubagaimanapun perjalanan mendaki bukit kawasan Tenom yang
dihiasi orkid disepanjang perjalanan menimbulkan kegusaran apabila bas yang
dinaiki seakan sukar untuk mendaki.
Setelah melalui zon kegusaran, bas yang didaki dapat mengelungsur laju setelah berjaya mendaki banjaran crocker. Kami kemudiaanya sampai di spitang untuk berehat dan bersolat di Masjid Imam Haji Hashim sebelum bergerak semula pada pukul 5.00 pm menuju ke menumbok. Tiba di manumbok pada pukul 6.30 pm dan aku terus menaiki bot tambang untuk menuju ke Labuan.
Setelah melalui zon kegusaran, bas yang didaki dapat mengelungsur laju setelah berjaya mendaki banjaran crocker. Kami kemudiaanya sampai di spitang untuk berehat dan bersolat di Masjid Imam Haji Hashim sebelum bergerak semula pada pukul 5.00 pm menuju ke menumbok. Tiba di manumbok pada pukul 6.30 pm dan aku terus menaiki bot tambang untuk menuju ke Labuan.
7.00 pm selamat tiba di Labuan.
Perjalanan Tamat…….
No comments:
Post a Comment