Labbaikallahumma labbaik, Labbaika la syarika laka labbaik,
Innal hamda wan ni'mata laka wal mulk, La syarika lak.
10 Dis 2025 perjalanan yang tertangguh 5 tahun disebabkan covid-19. Kita merancang Allah yang menentukan. Kali ini Aku menggunakan Perkhidmatan Agen Andalusia Travel dan Tour.
8 Dis 2025 Perjalanan daripada Labuan ke Kuala Lumpur yang mengambil masa 2.30 minit penerbangan pada pukul 1800. Kerana tiada pilihan lain aku mengambil 2 hari lebih awal sebelum bertolak ke Kota Madinah yang dijadualkan pada 10 Dis 2025 pukul 10 pagi. Aku dimaklumkan agar berada disekitar KLIA 9 jam lebih awal daripada tarikh pelepasan.
Selama 2 hari aku menginap di Orange hotel Kota Warisan bersama 2 Orang Rakan sekolah untuk mengerjakan perjalanan yang jauh. Di Kota Warisan semuanya tersedia dan kawasan yang sedang membangun dan dilengkapi keperluan kita sebagai pengembara. Menginap selama 2 hari dikenakan bayaran sebanyak RM300 untuk bilik bertiga - 3.
 |
| Menaiki Mas Airline |
10 Dis 2025- Tiba di KLIA pada pukul 5 pagi, pemberian passport, tiket, tag nama dan kit perubatan dimulakan oleh kakitangan Andalusia (ATT). Setelah semua bagasi telah siap di masukan ke dalam kapal, kami seterusnya bersarapan dan mendengar sedikit taklimat keberangkatan. Bagasi untuk kelas ekonomi adalah 30kg dan 40kg untuk kelas bisnes.
Menempuh perjalanan penerbangan selama 8 jam 30 minit daripada Kuala Lumpur International Airport ke Madinah Airport, menaiki Malaysia Airline MH152. Layanan yang diberikan oleh Malaysia Airline bersama Amal sangat berpuashati dari mula masuk kapal sehingga hidangan juadah sebanyak 2 kali sepanjang penerbangan. Dengan pramugara yang sangat mesra dan siap membantu untuk semua jemaah.
Setibanya di Lapangan Terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport pada pukul 3 petang, sang bayu yang menghembus dingin diluar stesen bas sangat menenangkan dan di jemput oleh Mutawwif kita Ustaz Ahmad Maulana.
 |
| Luar Lapangan Terbang Madinah |
 |
| Pemandangan Subuh |
Azan Mahgrib telah berkumandang semasa didalam bas menuju ke Hotel Penginapan Qasr Al Ansar Golden Tulip. Menapak selama 4 hari sehingga keberangkatan pada 15 Dis. Setelah bersiap, kami terus ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat isyak pada pukul 7.15mlm bersamaan 12.00mlm waktu Malaysia. Perbezaan masa selama 5 jam ini merubah pola tidur dan bangun serta sedikit Jet Lag.
Kami bergegas semula berkumpul apabila dimaklumkan ada sedikit taklimat lawatan akan dijalankan sekitar Masjid Nabawi pada pukul 9 malam. Kami dikongsikan Masjid-Masjid yang terdapat disekitar Masjid Nabawi yang merupakan tapak rumah sahabat-sahabat nabi antaranya adalah Masjid Awan (Masjid Al-Ghamamah), Masjid Ali dan Masjid Abu Bakar As Siddiq. Masjid-masjid ini yang mempunyai sejarah tersendiri dimana Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah menjadi imam dan berdoa kepada Allah s.w.t. dimasjid-masjid ini.
Jemaah lelaki kemudianya dibawa menuju ke Makam Rasullah di Kubah Hijau. Suasana yang meruntun hati dan rindunya kita kepada Rasullah semasa melalui perjalanan ke Makamnya. Semoga kita semua mendapat syafaatnya di padang Masyar kelak. Amiin.. Bersebelahan Makam Rasullah adalah makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
 |
| Laluan Menuju ke Makam Rasullullah SAW |
السَلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
السَلَامُ عَلَيْكَ يَا أَبَا بَكْرٍ
السَلَامُ عَلَيْكَ يَا أَمِيْرَ
Bacaan penuh boleh rujuk disini
Kami kemudianya ditunjukkan kawasan untuk mengambil air zam dan menikmatinya, tepat 12 malam bersurai.
 |
| Santai Dhuha |
11 Dis 2025 - Hari Ke 2, Subuh di Madinah pada pukul 5.30pagi dan pada pukul 4.30 pagi azan pertama akan berkumandang untuk kita bersedia ke Masjid. Azan Pertama belum masuk waktu ya. :). Azan berkumandang sebanyak 2 kali ini adalah sunnah yang selalunya dijalankan di Tanah Haram Madinah dan Makkah bagi menggalakkan solat subuh berjemaah.
Bayu dingin sekali lagi menghembus lembut di pagi hari. Aku dan rakan yang lain terus menuju ke Masjid Nabawi. Lepak selepas subuh di masjid sebelum pulang bersarapan di hotel sebelum tamat pada 8.00 pagi. Jarak Perjalanan dari Hotel ke Masjid Nabawi hanya mengambil masa 4 minit iaitu sekitar 260meter.
Mengambil masa untuk bertenang dan tidur seketika sebelum memulakan semula perjalanan ke Masjid Nabawi pukul 10 Pagi. Sepanjang Perjalanan dari hotel menuju ke Masjid Nabawi kita akan disapa oleh penjual-penjual kedai dan tips utamanya adalah bertanyakan harga sebelum membeli dan menggunakan duit kecil. Waktu Zohor pada pukul 12.15 pm dan tempahan Nusuk untuk ke Raudah adalah pada pukul 1.30PM.
 |
| Sijil diaplikasi Nusuk |
Syukur diberikan kesempatan untuk memasuki Raudah walaupun terdapat kesukaran menggunakan Aplikasi Nusuk. Tempahan untuk memasuki Raudah perlu dilaksanakan 48 Jam sebelum tarikh kemasukan, dan dalam masa 48 Jam tersebut kita perlu menanda kehadiran pada Aplikasi. Memandangkan perancangan ke Raudah adalah pada 11 Dis maka aku perlu menanda kehadiran seawal 9 Dis. Walaubagaimanapun, Aplikasi pada Android aku mengalami masalah dan tidak dapat menekan kehadiran. Masa hanya berbaki 30 min/48 Jam sebelum aku mencuba menggunakan telefon IOS untuk daftar kehadiran menggunakan akaun aku. Melalui aplikasi tersebut kita akan diberikan kod QR untuk diimbas sebagai bukti kehadiran semasa melalui 3 gate utama ke Raudah.
Keadaan yang berebut dan kelam kabut semasa memasuki Raudah menyebabkan kita akan merasa masa yang diperuntukan tidak mencukupi. Berdasarkan tips yang diberikan oleh rakan-rakan dan mutawiff aku mencari tiang pada Mimbar dan bersebelahan dengan kawasan rumah Rasullullah. Walaupun keadaan kucar kacir kita kena tetap tenang dan solat sunat di taman-taman syurga.
 |
| Muzium As Safiyyah Musem & Park |
Jam menunjukan pukul 3.30 petang setelah Azan Asar dan berbaki 2 jam 30 sebelum Azan Mahgrib. Kami terus meneruskan perjalanan meronda kawasan sekitar Masjid Nabawi sehingga terlihat Muzium As Safiyyah Musem & Park dengan harga tiket senilai SR25 dengan diskaun SR10 seorang. Total 3 orang SR45. Muzium ini memaparkan keadaan sebelum semasa dan sesudah keberadaan manusia di dunia, dengan terciptanya bumi dan Nabi Adam a.s yang diciptakan oleh Allah dari tanah dan disitulah manusia itu sendiri yang diciptakan dari jenis tanah-tanah yang berbeza dari segi warna dan bentuk. Perjalanan muzium secara maya dan artifak bayangan sangat menarik dan memakan masa selama 45 min.
12 Dis 2025- Hari ke 3, Seawal 2 Pagi menuju ke Masjid Nabawi untuk menyaksikan payung terbuka sambil duduk iktikaf seketika menunggu subuh, suhu mencapai bawah 10 darjah celcius. Aku dan rakan-rakan duduk di luar sebelah Kanan Masjid. Kedinginan pagi ini membuat mata terjaga disebabkan kesejukannya. Sebelum menjelang subuh kami masuk ke dalam Masjid Nabawi disebabkan sejuk yang tidak tertahan.
 |
| Melawat Perkuburan Baqi |
Selesai solat Subuh pada pukul 5.45 pagi dan solat jenazah kami terus bergegas ke Gate 362 sebelah kiri masjid untuk menuju ke Perkuburan Baqi, menuju ke perkuburan Baqi memerlukan kesabaran dan kesabaran disebabkan barisan yang panjang semua jemaah berebut untuk memasukinya. Lawatan perkuburan Baqi bagi jemaah lelaki hanya dibenarkan pada selepas subuh dan selepas asar serta waktu terdapatnya perkebumian. Perkuburan Baqi adalah perkuburan yang paling mulia dengan terletaknya 10 ribu para sahabat, Nabi selalu menziarahinya dan perkuburan pertama yang akan dibangkitkan diakhirat kelak. Perkuburan ini juga terletakkan makam Khalifah yang ke tiga, Saidina Usman bin Affan.
 |
| Shawarma |
Setelah selesai melawat perkuburan pada syuhadah kami seterusnya melawat kawasan rehat dan bersarapan di kawasan tersebut di Syrian Food. Menikmati Shawarma dan samosa. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Kami kembali semula ke Hotel dan menunggu solat Jumaat sebelum membuat Ziarah yang pertama. Jemaah lelaki disarankan untuk pergi ke masjid seawal 10 pagi bagi mengelakkan kesesakan saat-saat akhir.
 |
| Bir Ar Rahwa |
 |
| Telaga Bir e Shifa |
2.00 petang kami berkumpul dan bersedia untuk bergerak menaiki bas untuk ke Jabal Uhud. Namun sebelum tu singgah sebentar ke Bir Ar Rawha, merupakan kawasan persinggahan Nabi dan para sahabat sebelum melanjutkan perjalanan menuju ke perang Badar. Dimaklumkan terdapat telaga yang barakah namun pada waktu tersebut telaga tersebut telah ditutup. Selain daripada Nabi Muhammad s.a.w , terdapat lebih 70 Nabi pernah singgah dikawasan ini.
Selanjutnya... Perjalanan dari hotel penginapan mengambil masa 1 jam 30 min ke kawasan ini. Seterusnya menuju ke telaga Bir e Shifa yang merupakan juga telaga yang pernah digunakan oleh Rasullullah. Diceritakan telaga ini mempunyai rasa yang pahit dan payau serta tidak selamat untuk diminum, walaubagaimanapun berkat doa Rasullullah dengan meludahkan ke dalam telaga, maka air telaga tersebut boleh diminum dan berasa manis. Dikawasan tersebut juga terdapat perniaga menjual kentang goreng, Gorengan Bawang dan Aiskrim.
 |
| Kentang Goreng dan Gorengan Bawang, SR10 sebekas |
 |
| Masjid Al Areesh |
Tepat pukul 5.30 petang berkumandangnya Azan Maghrib di Masjid Al Areesh dimana kawasan tapak masjid dibina berdasarkan tapak khemah yang didirikan oleh Nabi semasa perang Badar. terdapat 14 para syuhadah yang terkorban semasa perang tersebut daripada terdiri dari 6orang muhajirin dan 8 orang ansar. Sesudah itu, perjalanan diteruskan ke Jabal Malaikat. Di Jabal Malaikat dikisahkan bagaimana para malaikat dengan izin Allah s.a.w membantu Nabi semasa perang Badar.
 | Senarai Para Syuhadah
|
 |
| Jabal Malaikat |
Kami kemudiaannya pulang ke Hotel pada pukul 9.00 Malam dan makan malam di hotel penginapan.
 |
| Masjid Quba |
13 Dis 2025 - Hari Ke 4, telah menjadi rutin untuk bangun seawal 4.00 pagi untuk bergerak menuju ke masjid Nabawi untuk mengerjakan solat subuh. Perancangan hari ni akan bergerak ke Masjid Quba pada pukul 8.00 pagi. Setibanya pada pukul 9.00 pagi bas mula bertolak ke Masjid Quba, kami disaksikan beberapa buah Masjid yang tidak dapat di lawati secara dekat antaranya adalah Masjid Qiblatain. Masjid Al-Qiblatain di Madinah adalah saksi sejarah penting perubahan kiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Kaabah, yang berlaku pada tahun ke-2 Hijrah ketika Nabi Muhammad SAW sedang solat Zuhur di masjid yang asalnya bernama Masjid Bani Salamah. Baginda menerima wahyu melalui Malaikat Jibril untuk berpusing 180 darjah menghadap Kaabah, diikuti semua sahabat, menandakan Kaabah sebagai kiblat kekal sehingga kini. Masjid ini kini memiliki dua mihrab (satu menghadap Baitul Maqdis dan satu menghadap Kaabah) sebagai tanda peringatan, dengan mihrab Kaabah menjadi mihrab utama. Selain daripada itu, terdapat juga
Masjid Tujuh yang lain termasuk Masjid Qiblatain.
Perjalanan ke Masjid Quba yang mengambil masa selama 1 jam telah tiba pada pukul 10.00 pagi. kami diberi masa selama 40 min untuk turun, bersolat serta mengambil beberapa gambar kenangan di Masjid Quba. Masjid Quba adalah masjid pertama dalam sejarah Islam, dibina oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sejurus tiba di Madinah pada tahun 622 Masihi semasa hijrah, menandakan permulaan dakwah Islam secara terbuka, dibina atas dasar takwa, dan menawarkan pahala seperti umrah bagi yang bersolat di dalamnya, menjadikannya destinasi ziarah penting (Rujukan) .
 |
| Jabal Uhud dan Jabal Ain |
Seterusnya kami ke Jabal Uhud pada pukul 12.00 tengahari. Kawasan kedua perang terbesar selain daripada perang Badar iaitu Perang Uhud. Perang yang berlaku pada 3 hijrah ini mengorbankan hampir 70 orang Syuhadah termasuk Pakcik Nabi iaitu Hamzah Bin Abdul Mutallib. Pasukan islam pada waktu itu adalah 700 melawan 3000 Arab Quraisy. Pasukan tentera islam telah mendahului namun kalah selepas tentera pemanah tidak mendengar arahan agar tidak menuruni bukit tersebut. Jabal Uhud mendapat namanya dikeranakan bentuk 1 dan satu-satunya bukit tunggal yang tidak bersambung dengan bukit-bukit lain.

Tiba di hotel pada pukul 2.00 petang. Bergerak semula ke Masjid Nabawi untuk iktikaf sambil menunggu solat Asar. Sambil mencuba nasib untuk mencuba sekali lagi menggunakan aplikasi Nusuk untuk memasuki Raudah. Fast Track setiap 20 min untuk mencuba nasib. Walaubagaimanapun hampa. Selepas Isyak bersiap sedia membuat persediaan untuk berangkat ke Kota Makkah. Beg Bagasi besar diarahkan untuk diletakkan di luar bilik bagi memasukan ke dalam bas.
14 Dis 2025- Hari Ke 5, Ahad Kami akan meninggalkan kota Madinah selepas Zohor, Rutin pagi kami bergerak lebih awal pada pukul 3 untuk menikmati Masjid Nabawi dan lepak sehingga waktu Dhuha sebelum bersarapan di Hotel.
Persoalan terjawab apabila ramai jemaah lelaki memakai kain ihram pada hari-hari sebelumnya, dan ternyata aku dan rakan-rakan yang lain juga harus memakai kain ihram kerana akan bertolak ke Kota Makkah selepas Zohor. Selesai Solat Zohor terus ke Hotel untuk menikmati makan tengahari dan bersiap untuk bertolak pada pukul 1.30petang.
2.00 petang bertolak dari hotel ke kawasan miqat yang pertama iaitu di Bir Ali, 30 min daripada Madinah sekitar 11 km. Walaubagaaimanapun, disebabkan dikawasan miqat yang padat dan penuh kami hanya melalui dan berniat dikawasan letak kenderaan sahaja, terdapat Bas jemaah hanya melalui dan tidak singgah dikawasan letak kenderaan. Perjalanan ke Kota Makkah dijangka mengambil masa selama 6 jam menggunakan bas dan 2-3 jam menaiki Keretaapi laju.
Sepanjang perjalanan kita disajikan dengan pemandangan bukit-bukit merah yang mula ditumbuhi rumput-rumput hijau, seketika terdapat segerombolan Unta dan Kambing bersama pengembalanya. Kita juga menyaksikan bagaimana orang arab berkelah di bawah-bawah pokok sambil menikmati makanan dan bermain. Perjalanan yang belum pernah dirasai, bukti kebesaran Allah menciptakan sesuatu sesuai dengan tempatnya.
6.30 petang. Makan Malam di Mohamadie Restaurant Nasi Arab Ayam bersama ikan. Seekor ayam bernilai SR50 setengah Ayam SR25. Makan secara bertalam seramai 4 orang 1 talam dan kami bersama jemaah Bas 5
Che Mi. 7.30 Malam mula bergerak semula ke Makkah. Tiba di hotel Azka Al Safa 10.00 Malam bersiap untuk mengalihkan bagasi dan berkumpul semula pada pukul 10.30 malam untuk memulakan tawaf dan saie yang pertama.
 |
| Selesai Tawaf Pertama |
Jam menujukkan pukul 11.00 malam dan tawaf selesai pada pukul 12.30 Pagi. Solat Sunat Tawaf dan Minum Air Zam-Zam dan memulakan Saie pada pukul 1.15 Pagi. Siap Bertahalul pada pukul 2.30 dan bergerak semula ke hotel penginapan. Bercukur di Barber dibawah hotel penginapan dengan nilai SR10.
15 Dis 2025- (Isnin) Setelah selesai pada 2.30 pagi untuk umrah yang pertama, cuba melelapkan mata sebelum memulakan perjalanan semula ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat subuh. Sesudah subuh lepak sebentar menunggu waktu Dhuha, keadaan yang mengelirukan untuk memasuki masjid kami akhirnya membawa kami ke Roof Top, keadaan sedikit tenang berbanding di tingkat 1 dan 2. Bergerak semula ke hotel pada pukul 7.15pagi dan bersarapan di hotel penginapan. Merehatkan diri sebentar, dan tiada aktiviti yang akan dilaksanakan pada hari ini. Bergerak semula ke Masjid pada pukul 11 pagi dan memasuki Gate 90. Keadaan yang padat dan kami beriktikaf seketika sambil menunggu Zohor.
1.00Petang - Pulang semula ke Hotel Azka Al Safa sejauh 250meter dari Masjidil Haram. Syukur kerisauan kawasan tempat tinggal yang jauh telah dipermudahkan dengan hanya 4 ke 5 minit berjalan kaki. Makan tenghari dan sambung berehat sebelum mula bergerak ke Masjidil Haram pada pukul 3 petang. Jalan memasuki masjid pada waktu tengahari melalui pintu Gate 90 telah berubah ke pintu Gate 89 pada sebelah petang. Pintu Gate sentiasa berubah-ubah dan aku menjadikan Menara Jam sebagai panduan untuk keluar balik semula ke Hotel Penginapan. Kami beriktikaf di Masjid sehingga Isyak sebelum menikmati makan malam di Hotel.
 |
| Jabal Rahmah |
16 Dis 2025- (Selasa) Rutin pagi seperti biasa, 4.00 pagi bersiap sedia. hari ni akan melaksanakan Umrah ke 2 dan akan miqat di Juranah. Namun sebelum kita ke Juranah bergerak seawal 8 pagi akan melakukan ziarah ke kawasan Haji iaitu padang Arafah, Jabal Rahmah. Sampai di Arafah ramai penjual buah-buahan, Minyak Wangi, Abaya, Kurma, cenderhati dan Aiskrim berada dikawasan ini. Semasa di Jabal Rahmah kami hanya diberi masa selama 40 min sebelum mula bergerak ke Mina dan Jamrah. Jabal Rahmah merupakan tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa dan digalakkan untuk berdoa agar dipertemukan jodoh atau diperkuatkan jodoh bagi suami isteri akan sehingga ke jannah. selain daripada itu, Jabal rahmah ini juga tempat wahyu terakhir Nabi S.A.W dan khutbah perpisahan pada haji Wida.
 |
| Arafah |
Seterusnya kami diperlihat kawasan Mina dan Jamrah dari dalam bas kerana kawasan ini hanya dibuka pada musim haji. Kawasan Mina dan Jamrah merujuk kepada lokasi dan aktiviti utama dalam ibadah haji, di mana Mina adalah sebuah lembah di Mekah tempat jemaah bermalam dan Jamrah adalah tiga tiang batu yang dilontar (direjam) sebagai simbolik menolak syaitan, mengikut jejak Nabi Ibrahim AS, dan dilakukan di tiga lokasi di Mina: Jamrah Sughra (kecil), Jamrah Wusta (pertengahan), dan Jamrah Kubra (besar), terutamanya pada Hari Tasyrik (11-13 Zulhijjah). Rujukan .
 |
| Kubah Kecil Kisah Nabi Ismail a.s |
 |
| Kawasan Melontar |
Terdapat satu kubah kecil dikawasan berbukit penempatan di Mina yang menunjukkan kawasan Nabi Ismail dikorbankan semasa Nabi ibrahim menerima perintah untuk mengorbankannya. Setelah jejak haji telah diceritakan, kami seterusnya pergi ke Juranah untuk bermiqat bagi umrah ke-2. Memandangkan Umrah Wajib telah dilaksanakan makan umrah sunat boleh dibadalkan untuk ahli keluarga yang telah meninggal atau yang sakit tiada harapan untuk datang mengerjakan ibadah umrah.

Tiba di hotel penginapan di Mekah pada pukul 12.30 tengahari dan kami diarahkan untuk makan, solat zohor di bilik dan berkumpul semula pada pukul 2.00petang untuk melaksanakan tawaf dan saie serta bertahalul. Tawaf selesai pada pukul 3 petang dan azan asar berkumandang semasa melaksanakan saie pusingan pertama ditingkat 1 dan kami solat di kawaasan saie. Kawasan Saie tingkat bawah dan tingkat 1 berbeza disebabkan tingkat bawah kita dapat merasakan mendaki bukit manakalah ditingkat satu lantai rata dan tidak merasai menaiki bukit. Selesai bertahalul dengan hanya syarat melalukan sahaja pada pukul 4.45 petang dan hanya berbaki 45 min untuk solat mahgrib. Kami mengambil kesempatan semasa menggunakan ihram untuk ke Mataf untuk bersolat mahgrib berhadapan kaabah. Walaubagaimanapun, kesukaran untuk memasuki kawasan Mataf sangat mencabar dengan banyak pintu-pintu telah pun ditutup. Namun syukur kami akhirnya dapat memasuki mataf setelah hampir 30 min berpusing-pusing dikawasan tingkat 1. Kami mendapatkan ruangan dikawasan tawaf semasa masuk ke Mataf, berhadapan Rukun Iraqi diantara Makam Ibrahim dan Hijir Ismail perasaan kebesaran dan keterujaan diberi kebenaran untuk memasuki rumah Allah s.w.t dan dijemput oleh-Nya.
Setelah selesai solat mahgrib kami mengambil kesempatan untuk memegang Kaabah dan Hijir Ismail dan Alhamdulilah dipermudahkan. Kami terus bergerak keluar dari Mataf dan menuju ke hotel penginapan.
17 Dis 2025 (Rabu). Maka genap seminggu aku di tanah haram, Hari ini akan dilaksanakan Umrah ke 3. Aku bergerak solo tanpa buddies kali ini disebabkan mereka demam dan kurang sihat. Lawatan ke Hudaibiyah merupakan lawatan tambahan sebanyak SR45 seorang dan kita akan bermiqat disana. Bergerak dari hotel pada pukul 8 pagi ke kawasan Ladang Unta Hudaibiyah. Anda boleh mengambil pengalaman untuk menunggang unta, minum susu unta dan memanah. Walaupun kawasan ini tidak termasuk kawasan bersejarah namun boleh menimba ilmu berkenaan aktiviti-aktiviti yang sering dilakukan di tanah arab.
 |
| Kawasan Perjanjian Hudaibiyah |
 |
| Muzium Al Amoudi |
Seterusnya kami bermiqat di Masjid Hudaibiyah dan bersolat dhuha tiba pada pukul 10 Pagi. Kami kemudiannya ke Muzium Alamoudi. Muzium Al Amoudi di Mekah adalah muzium peribadi yang mempamerkan sejarah peradaban Arab Saudi, terutamanya berkaitan Islam dan perjalanan haji, dengan koleksi artifak unik seperti model Kaabah lama, manuskrip Al-Quran purba, gambar-gambar lama Mekah, dan peralatan ibadah zaman silam. Dibina seperti kubu Arab lama dengan dinding tradisional campuran lumpur, jerami, dan susu.
 |
| Laluan Masuk Utama |
Setelah selesai melawat muzium, Jam menunjukkan pada pukul 12.30tengahari dan kami terus menuju hotel penginapan untuk makan solat dan melaksanakan tawaf pada pukul 2 petang. Selesai umrah ke 3 lebih awal 15 minit 4.40 petang. Aku terus meneruskan niat untuk bersolat di mataf buat kali ke 2 kerana masih berkain ihram. Syukur perjalanan ke mataf kali ini dipermudahkan apabila aku melalui pintu 17 Bab Ali yang merupakan pintu yang selalu digunakan oleh Rasullullah daripada rumah baginda ke Masjidil Haram.
 |
| Terpisah semasa Wada |
18 Dis 2025 (Khamis)- Sungguh pantas berlalu, hari ini akan membuat lawatan ke Taif, disebabkan ke Taif melebihi 2 marhala ataupun 81km kita perlu melakukan tawaf wada sebelum berangkat ke Taif pada pukul 8.00 pagi. Aku bersama 2 rakan berhasrat melaksanakan tawaf wada di mataf dengan berkain ihram pada pukul 3 pagi sebelum azan subuh. Semuanya dipermudahkan sebelum, waktu keluar daripada mataf pada pukul 4.30pagi semua jalan keluar telah ditutup. Bermulanya Maze untuk keluar daripada mataf, Setelah selesai pusingan ke 7 tawaf wada, Al fatah Gate telah ditutup, bergegas ke King Fahad Gate dan sempat untuk keluar dari mataf. Walaubagaimanapun rakan-rakan lain yang sudah terpisah semasa melakukan tawaf tidak sempat melalui King Fahad gate kerana telah ditutup dan mereka bergegas ada yang melalui laluan saie dan laluan lainnya. Tips bagi jemaah berkumpulan yang terpisah haruslah menetapkan tempat gate untuk menunggu setelah selesai tawaf bagi memudahkan perjalanan.
 |
| Andalusia Bas 5 |
Perjalanan dari Makkah ke Taif mengambil masa selama 1 jam 30 min, dan keadaan Taif lebih sejuk berbanding Makah. Sesampai saja kami di kota Taif kita sempat ke Gerbang Abdullah Ibnu Abbas yang merupakan anak angkat Nabi s.a.w dan juga Abdullah bin Abbas (Ibnu Abbas) adalah sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal sebagai sepupu Nabi, seorang ulama besar, perawi hadis terbanyak, dan pakar tafsir Al-Qur'an yang dijuluki "Hibrul Ummah" (tinta umat) dan "Tarjuman Al-Qur'an" (juru bahasa Al-Qur'an) karena keluasan ilmunya, terutama dalam agama dan tafsir. Beliau adalah putra dari Abbas bin Abdul Muthalib, pakcik Nabi Muhammad SAW, dan mendapat doa khusus dari Nabi agar dianugerahi pemahaman agama dan tafsir.
 |
| Kedai Buah Taif |
 |
| Taif |
Membeli buah, coklat dan madu di taif. Madunya mempunyai kepelbagaian dan keenakan yang tersendiri. Walaupun hanya sejam berada di taif, kami mula bergerak pergi dan singgah di kedai buah untuk melihat buah-buah disana antaranya delima, strawberry, kurma, blackcurrent, mangga dan buah kaktus. Diceritakan kisah permulaan Rasulllullah berada di taif iaitu di kawasan Taif yang banyak pokok, khususnya di sekitar Bustan at-Thaqif (Taman Thaqif), penduduknya adalah suku Bani Thaqif, termasuk ketua-ketua mereka seperti tiga orang yang ditemui Nabi Muhammad SAW, di mana mereka menolak dakwah Baginda dan akhirnya menghalau Baginda serta Zaid bin Harithah, menyebabkan mereka dibaling batu oleh penduduk dan kanak-kanak lelaki di sana.
Rujukan  |
| Qarn Al Manazil |
12.30 tengahhari sampai di kebun bunga rose
(منتزه الشيوخ), kilang pemprosesan bunga rose untuk dijadikan pewangi dan juga krim. Kopi juga boleh dinikmati disini sambil duduk di taman bunga rose. Berada disini sehingga pukul 1.45 petang. Seterusnya menikmati makan tenghari di
The Flame restaurant duduk secara bersila didalam khemah dihidangi Nasi Arab Ayam Mandy. Manakala Khunafa dijual dengan harga SR7 satu. Bergerak pukul 3 dari restoran dan ke kawasan miqat Qarn Al Manazil untuk solat jamak zohor dan asar pada pukul 4 petang. Bertolak balik semula ke Makkah pada pukul 5 petang dan kawasan memasuki kota makkah agak sesak kerana hari jumaaat dan sabtu merupakan cuti umum di kota Makkah.
 |
| منتزه الشيوخ |
Terdapat beberapa kawasan yang diceritakan sepanjang perjalanan pulang iaitu, tanah perkuburan Khadijah isteri Nabi dan juga Masjid Jin. Sejarah Masjid Jin di Mekah berkait rapat dengan peristiwa Nabi Muhammad SAW membacakan Al-Quran kepada sekumpulan jin yang kemudiannya beriman dan berbaiat (mengikrarkan taat setia) kepada baginda, menjadikannya saksi dakwah Islam kepada makhluk ghaib, juga dikenali sebagai Masjid Bai'ah, terletak berhampiran Perkuburan Ma'la (Perkuburan Siti Khadijah r.a). Kerana kesesakan lalulintas di Makkah kami tiba pada pukul 8.00 malam.

19 Dis 2025 (Jumaat) Rutin seperti biasa bergerak ke Masjidil Haram pada pukul 4 pagi dengan niat beriktikaf sehingga waktu Dhuha. Sambil menunggu waktu dhuha kita disajikan dengan keindahan matahari terbit dengan keadaan berwarna ungu dengan keadaan langit tidak berawan.
Selesai waktu dhuha dan diarahkan mengosongkan tempat ditingkat atas bagi persediaan solat jumaat, kami terus ke hotel penginapan untuk bersarapan. Mutawiff mengingatkan agar turun lebih awal untuk Solat Jumaat kerana dikhuatiri akan dipenuhi dengan jemaah. Tepat 10 Pagi kami bergegas ke Masjidil Haram dan beberapa laluan telah ditutup dan penuh. Kami cuba mencari jalan yang terpantas untuk ke Roof Top. Excalator King Fadh menjadi pemudah cara untuk naik ketingkat atas, walaupun semua jemaah tengah bersesak masuk. Setibanya di laluan masuk kawasan berbumbung kami diarahkan untuk berputar menghadap Rukun Yamani agar lebih banyak jemaah dapat memenuhi dilaluan masuk. Kawasan tawaf di tingkat atas tidak dibuka sehingga menghampiri waktu Azan Zohor. Menariknya Azan pertama lebih awal berbanding Azan Zohor tidak seperti lazimnya di Malaysia Azan Zohor baru diikuti Azan kedua sebelum khutbah bermula. Menurut sumber ini disebabkan oleh Di Masjidil Haram, kerana jumlah jemaah yang sangat besar dari seluruh dunia, azan pertama (azan taqdim) dibuat lebih awal lagi untuk memberi ruang lebih banyak kepada orang ramai tiba dan bersiap, memastikan kelancaran ibadah Jumaat secara menyeluruh.
 |
| Selesai Pengagihan Sabil |
Selesai Solat Jumaat kami kemudiannya kembali semula ke hotel penginapan dan membantu mengagihkan Sabil atau pun istilah Islam yang bermaksud "jalan sedekah" atau "memberi sedekah di jalan Allah. Sabil yang diagihkan berupa makanan dan diberikan kepada orang-orang yang memerlukan. Selain itu, dijanjikan pahala yang besar kerana memberi makan kepada orang yang lapar, bahkan pintu syurga khusus untuknya, menurut sabda Nabi Muhammad SAW.
Kemudiannya, pada hari ini akan diadakan lawatan ke Jabal Nur ataupun ke kawasan Gua Hira. Bergerak pada pukul 4 petang dan tiba di Jabal Nur pada pukul 4.30 hanya mengambil masa selama 30 min dari hotel penginapan. Mula pendakian pada pukul 5.00 petang. Walaubagaimanapun, aku tidak meneruskan pendakian sehingga ke Gua Hira disebabkan kesihatan yang tidak menyebelahi. Aku hanya mengambil beberapa gambar di Cafe dan pemandangan ke Menara Jam. Ziarah ke Jabal Nur ini merupakan Ziarah tambahan sebanyak SR35.
 |
| Pemandangan Dari Jabal Nur ke Menara Jam |
Setelah turun semula dari Jabal Nur kami meronda-ronda dikawasan membeli beli yang betul-betul berada dibawah bukit Jabal Nur.
Sempat mencuba secawan kopi dan membeli wangian. Pulang semula ke hotel penginapan dan tiba pada pukul 10.30 malam.
20 Dis 2025 (Sabtu) - Rutin Harian bergerak dari hotel penginapan pada pukul 4 pagi. Disebabkan hari ini tiada lagi lawatan luar, Kami cuba untuk melakukan Tawaf sunat di Roof Top selepas subuh. Satu pusingan lengkap membawa kepada 8 ke 10 min perjalanan kaki dan keseluruhan 7 tawaf dapat diselesaikan dalam masa 1 jam. Selesai Tawaf dalam pukul 6.50, Solat Dhuha dan kami diarahkan untuk beredar pada pukul 7.10 pagi disebabkan kerja-kerja pembersihan dan semua jemaah yang melakukan tawaf sunat diarahkan untuk turun ke tingkat bawah. Sebelum balik semula ke hotel kami mencuba melontar di pagi hari di Menara Jam dengan harapan dapat bersarapan di Al Baik namun kedai buka pada pukul 9 pagi. Jam menunjukkan pukul 8.30 dan kami memutuskan untuk bersarapan di Burger Friez sahaja.
11.30 Pagi bergerak semula ke Masjidil Haram untuk solat Zohor, semua ubat telah dimakan namun kecundang akhirnya demam dan selesma semakin teruk. Hanya berehat di hotel penginapan.Namun, diterima satu email menyatakan penerbangan telah ditukar tarikh daripada 21 Dis ke 22 Dis, kami menerima dengan hati terbuka, (Yeay ada Extra 1 hari lagi di Jeddah). Manakala Tawaf wada secara berkumpulan akan dilakukan pada pukul 2 pagi dengan berkain ihram tetap diteruskan dan dilaksanakan di Mataf memandangkan terdapat beberapa jemaah atas faktor kesihatan.
21 Dis 2025 (Ahad) - Setelah tamat Tawaf wada pada pukul 3.30 pagi, semua jemaah balik semula ke hotel penginapan setelah selesai solat sunat tawaf. Beg perlu diselesaikan sebelum 4 pagi untuk dimasukan kedalam bas. Setelah selesai bersarapan kami terus bersiap sedia untuk bertolak ke Jeddah dengan hotel penginapan yang telah disediakan oleh pihak Mas Airline.
 |
| Jeddah |

10 Pagi Mula bergerak ke Jeddah dan tiba di hotel Rosemond pada pukul 2 petang. Setelah mendapat kunci bilik kami seterusnya menjamu makan tengahari di hotel tersebut. Kami bercadang untuk ke Red Sea Mall menaiki Uber dengan nilai tambang SR31 sehala. Melontar dibeberapa kedai dan mencuba Al Baik sambil duduk-duduk santai di Cafe Pals. Bergerak balik semula ke hotel menaik uber SR30 setelah menghabiskan masa selama 4 jam,
22 Dis 2025 (Isnin) Setelah bersarapan, merancang untuk pergi ke Farmasi berdekatan untuk membeli ubat batuk dan gula-gula tekak. Berjalan santai selama 5 min sampai ke Farmasi yang dimaksudkan. Hari ni penerbangan pada pukul 10.30 Malam. Kami hanya santai di hotel penginapan.
3.00 petang bergerak ke Lapangan Terbang King Abdulaziz, perjalanan hanya mengambil masa selama 30 min. Walaubagaimanapun, menunggu di Gate 3 sebentar sehingga 5.30 petang sebelum bergerak ke balai pelepasan.
 |
| Airport King Abdulaziz |
Makan malam disediakan oleh pihak agen travel, dan perkhidmatan Andalusia sepanjang perjalanan umrah ini sangat dijaga dan teratur. Mana-mana yang ingin menunaikan umrah bolehlah mengambil Agent Travel ini. Selain daripada itu, walaupun penerbangan tertangguh pihak Malaysia Airline melalui Amal telah menyediakan penginapan, makan minum dan pengangkutan yang lengkap sepanjang tertangguhnya penerbangan tersebut. Syukur telah dipermudahkan semuanya.
 |
Bergambar terakhir bersama Mutawwif Dari Kiri: Salam, Aku, Syam, Pian, Maulana, Paklong |
23 Dis 2025- Tiba di Malaysia aku bermalam ni Aeropolis Tune Hotel
24 Dis 2025- Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan
Tamat.
 |
| Insyallah Jumpa Lagi |
No comments:
Post a Comment